Thursday, October 20, 2011

Madinah Menjadi Saksi Perjuangan Rasulullah s.a.w


Keizinan berperang

Nabi SAW hampir-hampir tidak sempat menetap selesa di Madinah apabila siri peperangan antara Baginda dengan Quraisy dan kabilah-kabilah Arab yang menyokong mereka bermula. Ahli-ahli sejarah Islam meletakkan beberapa istilah bagi siri peperangan ini. Mereka menamakan peperangan antara orang Islam dan orang musyrik yang disertai oleh SAW sebagai Ghazwah. Bilangan ghazwah sebanyak 26 ghazwah manakala bilangan sariyyah pula sebanyak 38 sariyyah. Peperangan bermula setelah diberi keizinan oleh Allah s.w.t menerusi Firman Allah s.w.t  yang bermaksud:
   
39. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) Yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
                                                                                             (Surah Al-Hajj: Ayat 39)
                Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hajj ayat 39 ini menunjukkan keizinan Allah s.w.t yang diberikan kepada orang Islam untuk berperang. Melalui ayat ini, dapatlah kita ketahui bahawa sebelum ayat tersebut turun, Rasulullah s.a.w dan para sahabat radhiallahu’anhum tidak diizinkan untuk menumpahkan darah. Dalam satu riwayat ( diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim) ada dikemukakan bahawa ketika Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, berkatalah Abu Bakar as-Siddiq: “Mereka mengusir Nabi mereka, pasti mereka akan dibinasakan.” Maka turunlah ayat ini yang memberikan kelonggaran untuk berperang kerana ada diantara mereka yang dianiaya dan ada yang dibunuh.



            Berhubung dengan perkara ini, Ibn Hisyam Rahimahullah telah menyebut di dalam  al-Sirah bahawa sebelum berlakunya Bai’ah al-‘Aqabah tidak diizinkan Rasulullah s.a.w berperang dan tidak dihalalkan kepadanya pertumpahan darah. Baginda hanya diperintahkan supaya berdoa kepada Allah, sabar menghadapi perkara-perkara yang menyakitkan hati dan memafkan kesalahan orang-orang yang jahil itu. Sikap musyrikin Quraisy  yang terus melakukan tekanan kepada pengikut Islam memaksa mereka berhijrah ke Madinah demi menjaga pegangan agama mereka. Kenyataan ini sesuai dengan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hajj, ayat ke-40 yang bermaksud:

 Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan Yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya Yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -  
         
            Menurut Ibnu Hisyam, setelah orang-orang musyrikin Quraisy terus-menerus menunjukkan kebiadabannya terhadap kemuliaan Allah s.w.t dan mendustakan Nabi s.a.w dengan menyiksa dan menghalau orang-orang yang mengabdikan diri kepada-Nya, percaya kepada Nabi s.a.w dan berpegang teguh kepada Islam, Allah s.w.t telah mengizinkan Rasulullah s.a.w berperang dan bertindak keatas orang-orang yang zalim dan melampau itu... <akan bersambung : Peperangan Badar insyaAllah >


Rujukan:
Imam Jalaluddin As-Sayuthi (2004). Asbabun Nuzul .
Ibnu Hisyam (2006). Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam Jilid 1 
Haji ‘Abdul Hadi Awang (2006). Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah Jilid 11




No comments:

Post a Comment