Friday, December 2, 2011

Langkah Mujahid





Sahabatku…
Dulu semalam dan hari ini,

Ku melihat generasi demi generasi,
Menghancurkan kehidupan mereka dengan mengingkari Allah,
Lalu aku tunduk kesedihan dan kebuntuan…
aku benar-benar kebingungan dan bertanya:

“apa yang harus kulakukan untuk menebus kelelahan umat ini???
Jawabmu : bukankah kau seorang da’ie dan mujahid???


Kataku lagi: “ tapi langkahku terlalu lambat…..”
Jawabmu: kau lambat kerana kau sendiri sibuk dengan urusan duniamu yang tak berkesudahan…
Mengejar impianmu dan lupa akan hari kebangkitan…apakah ada bekalmu disana???
lupakah engkau dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:



“Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya”. (surah Ali ‘Imran: ayat 77)


Katamu lagi : “pada akhir zaman ini, orang2 yang memegang tali perjuangan itu bagaikan menggenggam bara api, andai terus digenggam hancur luluh jiwanya, namun andai dilepaskan hancurlah dunia…jangan takut untuk berjuang kerana orang2 yang berjuang ini memang dirintangi ujian. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang2 yang sabar…”


Lantas kau membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan janganlah kau merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (Surah Ali ‘Imran: ayat 139)


Kita hidup untuk perjuangan,
Dan mati untuk kehidupan…
Syurga impian…

Aku tunduk membisu, benarlah kata-katamu itu .


sahabatku…
“kadang-kadang aku keletihan di “perjalanan” ini.. ,
Namun kadang2 aku begitu bersemangat meniti harapan masa hadapan,
Mungkin kerana adanya dirimu sahabat sebagai pinjaman Allah buatku…”


Sahabatku…
Andai suatu waktu kita perlu berpisah untuk selamanya...
Jangan pernah ditangisi perpisahan itu,,,



Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna kita telah dijanjikan Allah dengan dua kemuliaan
Tergugur syahid di medan perjuangan
Atau meraih kemenangan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Kita pasti berjaya
Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna perjuangan memerlukan pengorbanan

Kerna pejuang tak mengenal kerehatan
Aturkanlah langkahmu dengan penuh keimanan
Suburkanlah jiwamu dengan segala keyakinan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Islam pasti berjaya
Relakanlah pemergianku ini
Iringiku dengan seribu doa
Semoga kita kan berjumpa semula
Di taman Syurga yang indah

-Wasiat Sayyid Qutb-

Ahda, 
ADC 5745
2 dec 2011




Wednesday, November 2, 2011

SAYYIDUS SYUHADA'

SAIDINA HAMZAH BIN ABDUL MUTALIB R.A


1. RIWAYAT HIDUP


·         Bapa saudara kepada Rasulullah SAW, sebelah bapa.
·         Dilahirkan pada tahun 570 masihi., Di Mekah al-Mukarramah
·         Sangat rapat dengan Rasulullah sejak kecil.
·         Hobinya :  suka memanah & memburu
·         Pernah memukul Abu Jahal yang menampar Rasulullah SAW.
·         Gelarannya : 'Asadullah' (bermaksud  singa Allah ) kerana keberaniannya di medan perang
·         Digelar  “Sayyidus Syuhada”( penghulu org mati syahid)   krn mati dlm peperangan Uhud.
·         Gugur syahid pd th ke 3 hijrah & dikebumikan berdekatan Bukit Uhud

2. SIFAT PERIBADI

Sangat Menjaga Tingkahlaku

  • Tidak pernah terbabit dengan adab jahiliah yg buruk spt berjudi, berzina & berpoya-poya
Gagah dan Berani.
  • Menyahut cabaran melawan 2 org tentera musyrikin dlm perang Badar & berjaya membunuh keduanya
  • Banyak membunuh musuh dalam perang Uhud
  • Memegang panji-panji tentera Islam dalam beberapa peperangan
  • Melindungi Rasulullah SAW dari ancaman Kafir Quraisy.
Cekal Hati dan Pantas Bertindak.
  • Ditugaskan sebagai Ketua Peninjau pergerakan musuh di antara Makkah dan Syam.
  • Dipilih Rasulullah sebagai panglima perang dlm perang Badar
Bijak mengatur strategi perang
  • Beliau melancarkan serangan dgn tersusun ketika perang meletus hingga  memberikan  kemenangan kpd pihak Islam

3. PENGISLAMAN



Ø  Suatu hari Abu Jahal telah menghina & mecerca Rasulullah di Bukit Safa, pada ketika Saiyidina Hamzah sedang berburu.

Ø  Dlm perjalanannya pulang, beliau diberitahu tentang penghinaan itu  oleh 2 orang wanita.
Ø  Hamzah sangat marah & mencari Abu jahal yang sedang  berbincang dgn pembesar Quraisy di Masjidil Haram. Beliau memukul kepala Abu Jahal dgn busar panahnya hingga berlumuran darah.
Ø  Kemudian beliau berkata :" Sesiapa yg berani menghalang & mencabar aku silakan !  telah jelas kepadaku bahawa Muhammad itu ialah Rasul Allah & ajaran yg dibawanya adalah benar. Demi Allah aku ialah pengikut Muhammad. Kalau kamu berani halanglah aku "    Inilah detik pengislaman Saiyidina Hamzah
Ø  Sikap Hamzah ini didorong oleh perasaan kasih & cinta kpd Rasulullah & Kebenaran yg dibawa oleh baginda. Pengislamannya ini menyebabkan umat Islam semakin kuat & dihormati & pemimpin Quraisy tidak berani lagi penindasan umat  Islam sesuka hati mereka


4.SUMBANGAN DAN PENGORBANAN

·         Melindungi Rasulullah SAW dari ancaman musuh.
·         Menyertai semua peperangan &  memainkan peranan  penting dlm peperangan.
·         Banyak berkorban untuk menegakkan agama Allah SWT.
·         Mengambil berat tentang persaudaraan tanpa mengira kedudukan.
·         Membantu perkembangan dakwah Islam hingga dihormati masyarakat luar

5.KESYAHIDAN: 
Ditikam dengan lembing oleh Wahsyi dalam peperangan Uhud.

Wallahua'lam

Nurul Shuhada' Bt Ibrahim
7 Zulhijjah 1432 Hijrah
Khamis, 2.14 p.m
KAB A410.

















Thursday, October 20, 2011

Madinah Menjadi Saksi Perjuangan Rasulullah s.a.w


Keizinan berperang

Nabi SAW hampir-hampir tidak sempat menetap selesa di Madinah apabila siri peperangan antara Baginda dengan Quraisy dan kabilah-kabilah Arab yang menyokong mereka bermula. Ahli-ahli sejarah Islam meletakkan beberapa istilah bagi siri peperangan ini. Mereka menamakan peperangan antara orang Islam dan orang musyrik yang disertai oleh SAW sebagai Ghazwah. Bilangan ghazwah sebanyak 26 ghazwah manakala bilangan sariyyah pula sebanyak 38 sariyyah. Peperangan bermula setelah diberi keizinan oleh Allah s.w.t menerusi Firman Allah s.w.t  yang bermaksud:
   
39. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) Yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
                                                                                             (Surah Al-Hajj: Ayat 39)
                Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hajj ayat 39 ini menunjukkan keizinan Allah s.w.t yang diberikan kepada orang Islam untuk berperang. Melalui ayat ini, dapatlah kita ketahui bahawa sebelum ayat tersebut turun, Rasulullah s.a.w dan para sahabat radhiallahu’anhum tidak diizinkan untuk menumpahkan darah. Dalam satu riwayat ( diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim) ada dikemukakan bahawa ketika Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, berkatalah Abu Bakar as-Siddiq: “Mereka mengusir Nabi mereka, pasti mereka akan dibinasakan.” Maka turunlah ayat ini yang memberikan kelonggaran untuk berperang kerana ada diantara mereka yang dianiaya dan ada yang dibunuh.



            Berhubung dengan perkara ini, Ibn Hisyam Rahimahullah telah menyebut di dalam  al-Sirah bahawa sebelum berlakunya Bai’ah al-‘Aqabah tidak diizinkan Rasulullah s.a.w berperang dan tidak dihalalkan kepadanya pertumpahan darah. Baginda hanya diperintahkan supaya berdoa kepada Allah, sabar menghadapi perkara-perkara yang menyakitkan hati dan memafkan kesalahan orang-orang yang jahil itu. Sikap musyrikin Quraisy  yang terus melakukan tekanan kepada pengikut Islam memaksa mereka berhijrah ke Madinah demi menjaga pegangan agama mereka. Kenyataan ini sesuai dengan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hajj, ayat ke-40 yang bermaksud:

 Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan Yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya Yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -  
         
            Menurut Ibnu Hisyam, setelah orang-orang musyrikin Quraisy terus-menerus menunjukkan kebiadabannya terhadap kemuliaan Allah s.w.t dan mendustakan Nabi s.a.w dengan menyiksa dan menghalau orang-orang yang mengabdikan diri kepada-Nya, percaya kepada Nabi s.a.w dan berpegang teguh kepada Islam, Allah s.w.t telah mengizinkan Rasulullah s.a.w berperang dan bertindak keatas orang-orang yang zalim dan melampau itu... <akan bersambung : Peperangan Badar insyaAllah >


Rujukan:
Imam Jalaluddin As-Sayuthi (2004). Asbabun Nuzul .
Ibnu Hisyam (2006). Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam Jilid 1 
Haji ‘Abdul Hadi Awang (2006). Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah Jilid 11




Sunday, October 2, 2011

MUROBBI ARKITEK UMMAH


MURABBI ARKITEK UMMAH

Mukaddimah
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk"

( Surah al-Baqarah: ayat 44-45)


Menurut istilah yang diguna oleh para sarjana Islam, “Pendidik” ialah murabbi, muallim, muaddib, mudarris atau mursyid. Murabbi membawa maksud yang luas melebihi tahap muallim (cikgu). Perkataan murabbi tidak digunakan oleh agama lain, hanya agama Islam sahaja yang menggunakaan istilah tersebut.
  

Siapa Murabbi?
Berbeza dengan cikgu, murrabbi berperanan membentuk pelajarnya dari sudut zahir dan batin manakala cikgu hanya membentuk luaran pelajarnya. Konsep murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Justeru, murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Seorang penyair arab pernah bersyair:“ kalau aku tidak mempunyai murabbi, aku pasti tidak mengenali Tuhan”.




Rasulullah s.a.w membentuk murabbi dengan tiga resipi iaitu memiliki aqidah yang jelas, menjadi rahib pada waktu malam dan mempunyai akhlak yang terpuji. Seorang murabbi perlu jelas matlamat hidup dimana mereka mesti memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan menggunakan keduanya dalam kehidupan mereka. Murabbi bersedia untuk membentuk dirinya, bersedia untuk dibentuk dirinya dan seterusnya bersedia untuk membentuk orang lain dengan acuan yang telah digariskan oleh Islam. Murabbi akan menggunakan sebaik mungkin tunjuk ajar daripada Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, murabbi wajib memiliki akhlak yang cantik sebagaimana dapat dilihat matlamat pengutusan Rasul itu sendiri adalah untuk membentuk akhlak manusia.



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” . Akhlak bukanlah suatu perbuatan yang boleh dibuat-buat sebaliknya, menurut al-Ghazali definisi akhlak dari sudut istilahnya adalah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan yang mudah, tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu. Dengan kata lain, akhlak adalah satu sifat atau keadaan yang sebati dengan peribadi seseorang yang lahir dari sistem kepercayaan nilai dan pemikiran yang teguh dalam kehidupan dan diterjemahkan melalui tingkahlaku yang konsisten sehingga membentuk suatu budaya hidup dan diamalkan dalam kehidupan seharian.


gambar hiasan

gambar hiasan
Betapa besarnya peranan murabbi dalam mencorak ummah memerlukan setiap mereka yang bercita-cita untuk menjadi murabbi untuk terus menuntut ilmu bagi meluaskan pengetahuan dan mengasah minda secara berterusan. Bagaimana mungkin murabbi “memberi” jika dia tidak mempunyai apa-apa. Seorang murabbi wajib mempelajari tiga bidang ilmu iaitu ilmu Tauhid (berkaitan aqidah) , ilmu Feqah ( berkaitan syariat Islam) dan ilmu Tasauf (akhlak dan penyucian hati). Ketiga-tiga ilmu ini akan memandu perjalanan hidup seorang murabbi.

Tuesday, March 29, 2011

Mendidik Masyarakat Islam

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah swt kerana memberi peluang kepada saya mencoretkan sedikit idea untuk perkongsian bersama khususnya dengan para pendidik di luar sana.

Para pendidik mestilah menyedari dan disedarkan tentang tugas mereka supaya bangun bergerak melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab mereka terhadap ummat ini. mereka mestilah dikejutkan dari sikap tidak ambil peduli terhadap masalah sosial yang kian meruncing saban hari.

Para pendidik mestilah mengambil peranan mereka untuk membina dan memperteguhkan institusi Pendidikan secara berterusan menurut syariat Islam demi melahirkan masyarakat yang tunduk dan patuh kepada penciptaNya Yang Maha Agung.

Tugas dan kewajipan kita sekarang ialah untuk meningkatkan kefahaman kita dan anak bangsa tentang Islam, mengambilnya sebagai satu cara hidup ( The Way Of Life ) yang menentukan kehidupan kita sebagai manusia. Selagi ummat Islam tidak memahami Islam itu, maka selama itulah kita akan menghadapi masalah dimana sahaja kita berada.

Sogokan ilmu moden yang sebenarnya tidak moden telah menghalang pemahaman manusia terhadap Islam iaitu Dinullah (Agama Allah) yang dikirimkan khusus oleh Allah kepada hambaNya. Islam adalah satu cara manusia mengenal dirinya tetapi manusia tidak mengenal dirinya seperti yang ditulis oleh seorang ahli fikir Amerika Syarikat Dr. Carlyle dalam bukunya " Manusia yang tidak Diketahui". Percubaan manusia untuk mengenal dirinya dengan menggunakan akal semata-mata tidak akan memberikan kepuasan dan kebenaran.

Pesan seorang sahabat saya kepada saya "The main failure as a teacher is he cant even teach himself"


Wallahua'lam.

Sunday, March 6, 2011

Darah Syuhada' Masih Merah Di Lantai Sirah

Syahidnya Saidina Hamzah r.a

Jiwa Raga Dikorbankan
Agar Islam Tetap Terselamat
Disebalik ketewasanmu
Ada Syurga Sedang Menunggu....

1st time dengar lagu ni semasa kelas macro teaching, masa tu juga tanpa disedari air mataku menitis... sangat sedih mengenangkan kesyahidan Bapa saudara yang dicintai Rasulullah SAW ini.

seorang hamba yang bernama Wahsyi bin Harb telah dijanjikan oleh tuannya Jubair bin Mut'am akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh saidina Hamzah r.a. saidina Hamzah sebelum itu, telah membunuh bapa saudara Jubair, Tu'aimah Bin 'Adi ketika Perang Badar.

Dalam Peperangan Uhud ini, Wahsyi yang mahir melontar tombak tidak menghiraukan orang lain sebaliknya terus mencari Saidina Hamzah r.a. Dia mencari peluang untuk menikan curi dari belakang dan akhirnya mendapat peluang tersebut ketika Saidina Hamzah r.a sedang bertempur dengan Siba' bin Abdul 'Uzza.

setelah Saidina Hamzah r.a berjaya membunuh Siba', tombak Wahsyi telah mengenai perutnya sehingga terburai keluar...lalu beliau gugur menyambut panggilan Ilahi sebagai penghulu para Syuhada'...


Dipetik Daripada; Fiqh al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Friday, February 25, 2011

Tawaddu' Seorang Pendidik


Untuk post kali ini, saya ingin kongsikan dengan pembaca berkaitan peribadi unggul pendidik yang pernah saya jumpa. Bukan mudah untuk kita mencari pendidik yang merendah diri terhadap pelajarnya. Mungkin ada dalam kalangan pendidik yang akan merasa tidak selesa untuk merendah diri ataupun berfikiran pelajar akan hilang perasaan hormat mereka terhadap pendidik . Saya pulangkan persoalan ini kepada pandangan peribadi setiap pendidik . Walaubagaimanapun, disini suka untuk saya coretkan pengalaman saya berjumpa dengan pendidik yang tinggi akhlaknya. Mereka adalah pensyarah daripada Jabatan Pengajian Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ya, mereka adalah contoh pendidik yang berakhlak dan sangat saya kagumi. Kenapa saya berkata begitu? Teringat saya ketika saya melalui bangunan malim sarjana, ketika itu saya melihat ustaz (ustaz 1) datang dari arah hadapan, dalam hati saya berniat untuk memberi salam kepada beliau tetapi…apa yang berlaku beliau terlebih dahulu memberi salam sambil menundukkan sedikit kepala dan senyum . Ya Allah…betapa merendah dirinya ustaz, sungguh seumur hidup saya, tak pernah saya jumpa pendidik seumpama beliau. Peristiwa kedua berlaku ketika saya ingin meminjam sebuah kitab daripada ustaz ( ustaz 2) untuk dijadikan rujukan. Ketika saya bertanya ustaz, beliau kata kitab tersebut ada di rumah, kalau saya nak kena ambil esok. Keesokannya, seperti yang dijanjikan saya telah tunggu di hadapan pejabat ustaz pada pukul 4.00 petang. Walaubagaimanapun, ustaz belum lagi datang sehingga hampir pukul lima (mungkin ustaz lupa). Justeru, Saya pun mengambil tindakan untuk meninggalkan pejabat ustaz. Beberapa minit kemudian, saya mendapat panggilan daripada ustaz, beliau tanya dimana saya berada? Saya cakap saya ada di depan kedai ACER ( depan kampus ). Ustaz kemudian memberitahu saya supaya tunggu di hadapan bus stop berdekatan kerana dia akan datang. Lebih kurang 10 minit kemudian, ustaz datang dengan kereta bersama isteri dan anak-anak. isteri beliau menghulurkan kitab kepada saya. Ustaz sempat pesan kepada saya supaya jangan fotostat kitab tersebut. Betapa merendah dirinya ustaz sehingga beliau yang datang untuk beri kitab kepada saya walhal saya sendiri boleh mengambilnya di pejabat beliau pada keesokan hari…

Monday, February 21, 2011

Mahasiswa Pendidik Untuk Mahasiswa UPSI


Bismillahirrahmanirrahim...

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

kesyukuran yang tidak terhingga kupanjatkan ke hadrat Allah swt diatas kemenangan yang diberikan-Nya kepada calon-calon Mahasiswa Pendidik di dalam pilihanraya kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris semalam. Gelombang kuning telah melanda UPSI. Mahasiswa UPSI telah yakin dengan kepimpinan Mahasiswa Pendidik (MP). mereka yakin bahawa YB2 MP mampu menggalas amanah yang diberi oleh universiti. saya sendiri mengharapkan tranformasi mahupun revolusi ke arah kebaikan akan berlaku di Bumi UPSI...Hidup! Hidup! Mahasiswa! Menang! Menang! Menang Islam!
Takbiiir!!!! Allahuakbar!

Monday, February 14, 2011

Pengajaran Efektif

Menurut Thomas F. Green (1997) melalui bukunya The Activities of Teaching menulis bahawa pengajaran adalah proses menukar tingkah laku & kelakuan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru. Dr Ragbir Kaur (2005) mendefinisikan pengajaran sebagai satu proses di mana kegiatan-kegiatan disusun untuk membawa perubahan tingkah laku pada diri murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Maksud efektif pula jika dirujuk dalam Kamus Pelajar DBP Cetakan Kesebelas (1994) bermaksud sesuatu yang mendatangkan kesan atau hasil yang diharap-harapkan.

Pengajaran efektif merupakan pengajaran yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran tertentu serta pengetahuan dan arah tuju. Pengajaran ini dilaksanakan dalam kumpulan kecil yang sama-sama berusaha untuk mencapai tujuan bersama dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan penyeliaan guru. Al-Ghabisi (2002).

Secara dasarnya pengajaran efektif merupakan aktiviti pengajaran yang melibatkan pendidikan yang terbaik bagi meningkatkan keinginan pelajar dalam pembelajaran dengan berbagai-bagai aktiviti pendidikan. Chris (1992).

Menurut Hunter (1969) dalam bukunya Teach More, Faster pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dalam diri murid-murid. Pembelajaran yang efektif berlaku dalam suasana yang sihat serta bersemangat.

Oleh itu, pengajaran efektif boleh ditakrifkan sebagai satu sistem aktiviti yang dapat meningkatkan lagi hasil pembelajaran terakhir yang dikehendaki di dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran terakhir yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku murid, akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baru. Ia juga merangkumi perkembangan seseorang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.