Thursday, October 20, 2011

Madinah Menjadi Saksi Perjuangan Rasulullah s.a.w


Keizinan berperang

Nabi SAW hampir-hampir tidak sempat menetap selesa di Madinah apabila siri peperangan antara Baginda dengan Quraisy dan kabilah-kabilah Arab yang menyokong mereka bermula. Ahli-ahli sejarah Islam meletakkan beberapa istilah bagi siri peperangan ini. Mereka menamakan peperangan antara orang Islam dan orang musyrik yang disertai oleh SAW sebagai Ghazwah. Bilangan ghazwah sebanyak 26 ghazwah manakala bilangan sariyyah pula sebanyak 38 sariyyah. Peperangan bermula setelah diberi keizinan oleh Allah s.w.t menerusi Firman Allah s.w.t  yang bermaksud:
   
39. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) Yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
                                                                                             (Surah Al-Hajj: Ayat 39)
                Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hajj ayat 39 ini menunjukkan keizinan Allah s.w.t yang diberikan kepada orang Islam untuk berperang. Melalui ayat ini, dapatlah kita ketahui bahawa sebelum ayat tersebut turun, Rasulullah s.a.w dan para sahabat radhiallahu’anhum tidak diizinkan untuk menumpahkan darah. Dalam satu riwayat ( diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim) ada dikemukakan bahawa ketika Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, berkatalah Abu Bakar as-Siddiq: “Mereka mengusir Nabi mereka, pasti mereka akan dibinasakan.” Maka turunlah ayat ini yang memberikan kelonggaran untuk berperang kerana ada diantara mereka yang dianiaya dan ada yang dibunuh.



            Berhubung dengan perkara ini, Ibn Hisyam Rahimahullah telah menyebut di dalam  al-Sirah bahawa sebelum berlakunya Bai’ah al-‘Aqabah tidak diizinkan Rasulullah s.a.w berperang dan tidak dihalalkan kepadanya pertumpahan darah. Baginda hanya diperintahkan supaya berdoa kepada Allah, sabar menghadapi perkara-perkara yang menyakitkan hati dan memafkan kesalahan orang-orang yang jahil itu. Sikap musyrikin Quraisy  yang terus melakukan tekanan kepada pengikut Islam memaksa mereka berhijrah ke Madinah demi menjaga pegangan agama mereka. Kenyataan ini sesuai dengan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hajj, ayat ke-40 yang bermaksud:

 Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan Yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya Yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -  
         
            Menurut Ibnu Hisyam, setelah orang-orang musyrikin Quraisy terus-menerus menunjukkan kebiadabannya terhadap kemuliaan Allah s.w.t dan mendustakan Nabi s.a.w dengan menyiksa dan menghalau orang-orang yang mengabdikan diri kepada-Nya, percaya kepada Nabi s.a.w dan berpegang teguh kepada Islam, Allah s.w.t telah mengizinkan Rasulullah s.a.w berperang dan bertindak keatas orang-orang yang zalim dan melampau itu... <akan bersambung : Peperangan Badar insyaAllah >


Rujukan:
Imam Jalaluddin As-Sayuthi (2004). Asbabun Nuzul .
Ibnu Hisyam (2006). Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam Jilid 1 
Haji ‘Abdul Hadi Awang (2006). Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah Jilid 11




Sunday, October 2, 2011

MUROBBI ARKITEK UMMAH


MURABBI ARKITEK UMMAH

Mukaddimah
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk"

( Surah al-Baqarah: ayat 44-45)


Menurut istilah yang diguna oleh para sarjana Islam, “Pendidik” ialah murabbi, muallim, muaddib, mudarris atau mursyid. Murabbi membawa maksud yang luas melebihi tahap muallim (cikgu). Perkataan murabbi tidak digunakan oleh agama lain, hanya agama Islam sahaja yang menggunakaan istilah tersebut.
  

Siapa Murabbi?
Berbeza dengan cikgu, murrabbi berperanan membentuk pelajarnya dari sudut zahir dan batin manakala cikgu hanya membentuk luaran pelajarnya. Konsep murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Justeru, murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Seorang penyair arab pernah bersyair:“ kalau aku tidak mempunyai murabbi, aku pasti tidak mengenali Tuhan”.




Rasulullah s.a.w membentuk murabbi dengan tiga resipi iaitu memiliki aqidah yang jelas, menjadi rahib pada waktu malam dan mempunyai akhlak yang terpuji. Seorang murabbi perlu jelas matlamat hidup dimana mereka mesti memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan menggunakan keduanya dalam kehidupan mereka. Murabbi bersedia untuk membentuk dirinya, bersedia untuk dibentuk dirinya dan seterusnya bersedia untuk membentuk orang lain dengan acuan yang telah digariskan oleh Islam. Murabbi akan menggunakan sebaik mungkin tunjuk ajar daripada Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, murabbi wajib memiliki akhlak yang cantik sebagaimana dapat dilihat matlamat pengutusan Rasul itu sendiri adalah untuk membentuk akhlak manusia.



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” . Akhlak bukanlah suatu perbuatan yang boleh dibuat-buat sebaliknya, menurut al-Ghazali definisi akhlak dari sudut istilahnya adalah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan yang mudah, tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu. Dengan kata lain, akhlak adalah satu sifat atau keadaan yang sebati dengan peribadi seseorang yang lahir dari sistem kepercayaan nilai dan pemikiran yang teguh dalam kehidupan dan diterjemahkan melalui tingkahlaku yang konsisten sehingga membentuk suatu budaya hidup dan diamalkan dalam kehidupan seharian.


gambar hiasan

gambar hiasan
Betapa besarnya peranan murabbi dalam mencorak ummah memerlukan setiap mereka yang bercita-cita untuk menjadi murabbi untuk terus menuntut ilmu bagi meluaskan pengetahuan dan mengasah minda secara berterusan. Bagaimana mungkin murabbi “memberi” jika dia tidak mempunyai apa-apa. Seorang murabbi wajib mempelajari tiga bidang ilmu iaitu ilmu Tauhid (berkaitan aqidah) , ilmu Feqah ( berkaitan syariat Islam) dan ilmu Tasauf (akhlak dan penyucian hati). Ketiga-tiga ilmu ini akan memandu perjalanan hidup seorang murabbi.