ISU AKIDAH PADA ZAMAN PEMERINTAHAN SAIDINA UMAR AL-KHATTAB
Setelah Nabi Muhammad s.a.w wafat, dalam masa pemerintahan
khalifah pertama dan kedua, umat Islam tidak ada masa untuk membahaskan perkara
atau dasar akidah, kerana antaranya mereka sibuk menghadapi peperangan dan
musuh dalam usaha mempertahankan kesatuan Islam. Pada zaman sahabat jika
berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan mereka, ialah perkara yang
berkaitan ijtihad dan dalam masalah furu’ sahaja, namun mereka sependapat dalam
perkara usul. Dalam perkara dan persoalan yang berkaitan Usul atau Akidah, para
sahabat menerima apa sahaja yang mereka terima daripada Rasulullah sebagaimana
semasa hayat nabi dan semasa zaman nabi. Mereka membaca dan memahami al-Qur’an
tanpa ada ta’wil. Mereka mengikuti al-Qur’an dan menjauhi apa yang ditegah.
Dalam al-Qur’an al-Karim terdapat
dua bentuk ayat iaitu Muhkamat dan Mutasyabihat. Kenyataan
tentang pembahagian ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t menerusi firman Allah
s.w.t yang bermaksud[1] :
Dia lah Yang menurunkan kepadamu
(Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah
ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta
jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran.
dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang
samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang
berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang Yang ada
Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa
Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya
(memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang
mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan
orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu
ugama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi
Tuhan kami" dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan
orang-orang Yang berfikiran.
Ayat Muhkamat tidak menimbulkan banyak perselisihan dalam
kalangan ulama Islam kerana mempunyai pengertian yang jelas dan nyata
berbanding ayat mutasyabihat yang terdapat kesamaran dari segi
maksudnya. Mengikut Jabir Ibn Abdillah r.a, Muhkam
dan mutasyabih itu ialah: ayat-ayat yang Muhkam
adalah ayat-ayat yang boleh diketahui tafsirannya serta difahami maknanya
sementara ayat-ayat mutasyabih pula adalah ayat-ayat yang tidak diketahui
maknanya baik dengan cara apa
sekalipun. Mereka berbeza pandangan
tentang cara dan pendekatan yang sesuai dalam memahami ayat mutasyabihat sama ada melalui kaedah
takwil atau tafwid. Golongan yang mengamalkan pendekatan tafwid digelar sebagai
Salaf manakala mereka yang mengambil pendekatan takwil digelar sebagai golongan
Khalaf.
Muhammad Bin Ishak berpandangan bahawa ayat-ayat Muhkamat merupakan hujah Tuhan,
perlindungan hamba dan penghilang permusuhan yang batil serta tidak memerlukan
pentakwilan kerana maksudnya telah jelas. Allah s.w.t menguji hambaNya melalui
ayat Muhkamat sebagaimana Dia menguji
mereka dengan halal dan haram agar ayat itu tidak diubah menjadi batil dan
disimpangkan dari kebenaran”. Firman
Allah yang bermaksud:[2]
“Adapun
orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka
selalu menurut ayat mutasyabih (ayat yang samar-samar dari Al-Quran)”
Ibnu Kathir
dalam mentafsir firman Allah s.w.t sebagaimana ayat diatas menyatakan bahawa golongan yang sesat hanya
mengambil ayat-ayat mutasyabih yang memungkinkan mereka untuk mengubahnya
sesuai dengan tujuan jahat mereka kerana ayat mutasyabih itu tidak jelas
pengertiannya. Mereka tidak mengambil ayat-ayat Muhkam kerana ayat tersebut mengalahkan mereka dan membatalkan
hujah mereka. Oleh kerana itu, Allah berfirman :
ابتغاء الفتنة
Maksudnya: untuk
mencari fitnah
“Mencari fitnah” yakni untuk menyesatkan para pengikutnya. Tafsiran Ibnu Kathir
berhubung ayat 7 daripada Surah Ali ‘Imran ini amat sesuai dengan pandangan
Ibnu ‘Abbas ketika mendefinisikan ayat Muhkam
dan ayat mutasyabih. Menurut Ibnu ‘Abbas r.a, ayat-ayat yang Muhkam itu adalah ayat-ayat yang tidak
boleh diberikan lebih dari satu pengertian manakala ayat-ayat mutasyabih pula
ialah ayat-ayat yang mempunyai kemungkinan makna yang banyak dan boleh
ditakwil. (Muhammad Nasir Ar-Rifa’i 1999)
Sewaktu pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, telah datang seorang
lelaki bernama Subigh ke Madinah dan bertanya tentang Mutasyabihat
(seolah-olah tujuannya untuk meragukan). Saidina Umar mengutus kepadanya
seorang sahabat untuk menjemputnya hadir. Setelah Subigh datang, Saidina Umar
memukulnya dengan pelepah tamar di kepalanya sehingga berdarah. Tindakan
Saidina Umar tersebut menunjukkan kepada kita bahawa para bahawa aqidah pada
zaman sahabat begitu kuat dan mereka cuba memerangi anasir-anasir yang boleh merosakkan
umat Islam pada ketika itu. (Mudasir Rosder 1989)
Wallahua'lam.