Saturday, November 3, 2012

ISU AKIDAH PADA ZAMAN PEMERINTAHAN SAIDINA UMAR AL-KHATTAB

ISU AKIDAH PADA ZAMAN PEMERINTAHAN SAIDINA UMAR AL-KHATTAB






Setelah Nabi  Muhammad s.a.w wafat, dalam masa pemerintahan khalifah pertama dan kedua, umat Islam tidak ada masa untuk membahaskan perkara atau dasar akidah, kerana antaranya mereka sibuk menghadapi peperangan dan musuh dalam usaha mempertahankan kesatuan Islam. Pada zaman sahabat jika berlaku perselisihan pendapat dalam kalangan mereka, ialah perkara yang berkaitan ijtihad dan dalam masalah furu’ sahaja, namun mereka sependapat dalam perkara usul. Dalam perkara dan persoalan yang berkaitan Usul atau Akidah, para sahabat menerima apa sahaja yang mereka terima daripada Rasulullah sebagaimana semasa hayat nabi dan semasa zaman nabi. Mereka membaca dan memahami al-Qur’an tanpa ada ta’wil. Mereka mengikuti al-Qur’an dan menjauhi apa yang ditegah.

Dalam al-Qur’an al-Karim terdapat dua bentuk ayat iaitu Muhkamat dan Mutasyabihat. Kenyataan tentang pembahagian ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t menerusi firman Allah s.w.t yang bermaksud[1]  :

Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran.


Ayat Muhkamat tidak menimbulkan banyak perselisihan dalam kalangan ulama Islam kerana mempunyai pengertian yang jelas dan nyata berbanding ayat mutasyabihat yang terdapat kesamaran dari segi maksudnya. Mengikut Jabir Ibn Abdillah r.a, Muhkam dan mutasyabih itu ialah: ayat-ayat yang Muhkam adalah ayat-ayat yang boleh diketahui tafsirannya serta difahami maknanya sementara ayat-ayat mutasyabih pula adalah ayat-ayat yang tidak diketahui maknanya  baik dengan cara apa sekalipun.  Mereka berbeza pandangan tentang cara dan pendekatan yang sesuai dalam memahami ayat mutasyabihat sama ada melalui kaedah takwil atau tafwid. Golongan yang mengamalkan pendekatan tafwid digelar sebagai Salaf manakala mereka yang mengambil pendekatan takwil digelar sebagai golongan Khalaf.

Muhammad Bin Ishak berpandangan bahawa ayat-ayat Muhkamat merupakan hujah Tuhan, perlindungan hamba dan penghilang permusuhan yang batil serta tidak memerlukan pentakwilan kerana maksudnya telah jelas. Allah s.w.t menguji hambaNya melalui ayat Muhkamat sebagaimana Dia menguji mereka dengan halal dan haram agar ayat itu tidak diubah menjadi batil dan disimpangkan dari kebenaran”.  Firman Allah yang bermaksud:[2]
“Adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut ayat mutasyabih (ayat yang samar-samar dari Al-Quran)”

Ibnu Kathir dalam mentafsir firman Allah s.w.t sebagaimana ayat diatas  menyatakan bahawa golongan yang sesat hanya mengambil ayat-ayat mutasyabih yang memungkinkan mereka untuk mengubahnya sesuai dengan tujuan jahat mereka kerana ayat mutasyabih itu tidak jelas pengertiannya. Mereka tidak mengambil ayat-ayat Muhkam kerana ayat tersebut mengalahkan mereka dan membatalkan hujah mereka. Oleh kerana itu, Allah berfirman :
ابتغاء الفتنة
 Maksudnya: untuk mencari fitnah

“Mencari fitnah”  yakni untuk menyesatkan para pengikutnya. Tafsiran Ibnu Kathir berhubung ayat 7 daripada Surah Ali ‘Imran ini amat sesuai dengan pandangan Ibnu ‘Abbas ketika mendefinisikan ayat Muhkam dan ayat mutasyabih. Menurut Ibnu ‘Abbas r.a, ayat-ayat yang Muhkam itu adalah ayat-ayat yang tidak boleh diberikan lebih dari satu pengertian manakala ayat-ayat mutasyabih pula ialah ayat-ayat yang mempunyai kemungkinan makna yang banyak dan boleh ditakwil. (Muhammad Nasir Ar-Rifa’i 1999)

Sewaktu pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, telah datang seorang lelaki bernama Subigh ke Madinah dan bertanya tentang Mutasyabihat (seolah-olah tujuannya untuk meragukan). Saidina Umar mengutus kepadanya seorang sahabat untuk menjemputnya hadir. Setelah Subigh datang, Saidina Umar memukulnya dengan pelepah tamar di kepalanya sehingga berdarah. Tindakan Saidina Umar tersebut menunjukkan kepada kita bahawa para bahawa aqidah pada zaman sahabat begitu kuat dan mereka cuba memerangi anasir-anasir yang boleh merosakkan umat Islam pada ketika itu. (Mudasir Rosder 1989)

Wallahua'lam. 




[1]               Al-Quran, Ali ‘Imran 3:7
[2]               Al-Quran, Ali ‘Imran 3:7
[3]               Al-Quran, Ali ‘Imran 3:7

No comments:

Post a Comment