Friday, February 25, 2011

Tawaddu' Seorang Pendidik


Untuk post kali ini, saya ingin kongsikan dengan pembaca berkaitan peribadi unggul pendidik yang pernah saya jumpa. Bukan mudah untuk kita mencari pendidik yang merendah diri terhadap pelajarnya. Mungkin ada dalam kalangan pendidik yang akan merasa tidak selesa untuk merendah diri ataupun berfikiran pelajar akan hilang perasaan hormat mereka terhadap pendidik . Saya pulangkan persoalan ini kepada pandangan peribadi setiap pendidik . Walaubagaimanapun, disini suka untuk saya coretkan pengalaman saya berjumpa dengan pendidik yang tinggi akhlaknya. Mereka adalah pensyarah daripada Jabatan Pengajian Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ya, mereka adalah contoh pendidik yang berakhlak dan sangat saya kagumi. Kenapa saya berkata begitu? Teringat saya ketika saya melalui bangunan malim sarjana, ketika itu saya melihat ustaz (ustaz 1) datang dari arah hadapan, dalam hati saya berniat untuk memberi salam kepada beliau tetapi…apa yang berlaku beliau terlebih dahulu memberi salam sambil menundukkan sedikit kepala dan senyum . Ya Allah…betapa merendah dirinya ustaz, sungguh seumur hidup saya, tak pernah saya jumpa pendidik seumpama beliau. Peristiwa kedua berlaku ketika saya ingin meminjam sebuah kitab daripada ustaz ( ustaz 2) untuk dijadikan rujukan. Ketika saya bertanya ustaz, beliau kata kitab tersebut ada di rumah, kalau saya nak kena ambil esok. Keesokannya, seperti yang dijanjikan saya telah tunggu di hadapan pejabat ustaz pada pukul 4.00 petang. Walaubagaimanapun, ustaz belum lagi datang sehingga hampir pukul lima (mungkin ustaz lupa). Justeru, Saya pun mengambil tindakan untuk meninggalkan pejabat ustaz. Beberapa minit kemudian, saya mendapat panggilan daripada ustaz, beliau tanya dimana saya berada? Saya cakap saya ada di depan kedai ACER ( depan kampus ). Ustaz kemudian memberitahu saya supaya tunggu di hadapan bus stop berdekatan kerana dia akan datang. Lebih kurang 10 minit kemudian, ustaz datang dengan kereta bersama isteri dan anak-anak. isteri beliau menghulurkan kitab kepada saya. Ustaz sempat pesan kepada saya supaya jangan fotostat kitab tersebut. Betapa merendah dirinya ustaz sehingga beliau yang datang untuk beri kitab kepada saya walhal saya sendiri boleh mengambilnya di pejabat beliau pada keesokan hari…

Monday, February 21, 2011

Mahasiswa Pendidik Untuk Mahasiswa UPSI


Bismillahirrahmanirrahim...

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

kesyukuran yang tidak terhingga kupanjatkan ke hadrat Allah swt diatas kemenangan yang diberikan-Nya kepada calon-calon Mahasiswa Pendidik di dalam pilihanraya kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris semalam. Gelombang kuning telah melanda UPSI. Mahasiswa UPSI telah yakin dengan kepimpinan Mahasiswa Pendidik (MP). mereka yakin bahawa YB2 MP mampu menggalas amanah yang diberi oleh universiti. saya sendiri mengharapkan tranformasi mahupun revolusi ke arah kebaikan akan berlaku di Bumi UPSI...Hidup! Hidup! Mahasiswa! Menang! Menang! Menang Islam!
Takbiiir!!!! Allahuakbar!

Monday, February 14, 2011

Pengajaran Efektif

Menurut Thomas F. Green (1997) melalui bukunya The Activities of Teaching menulis bahawa pengajaran adalah proses menukar tingkah laku & kelakuan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru. Dr Ragbir Kaur (2005) mendefinisikan pengajaran sebagai satu proses di mana kegiatan-kegiatan disusun untuk membawa perubahan tingkah laku pada diri murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Maksud efektif pula jika dirujuk dalam Kamus Pelajar DBP Cetakan Kesebelas (1994) bermaksud sesuatu yang mendatangkan kesan atau hasil yang diharap-harapkan.

Pengajaran efektif merupakan pengajaran yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran tertentu serta pengetahuan dan arah tuju. Pengajaran ini dilaksanakan dalam kumpulan kecil yang sama-sama berusaha untuk mencapai tujuan bersama dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan penyeliaan guru. Al-Ghabisi (2002).

Secara dasarnya pengajaran efektif merupakan aktiviti pengajaran yang melibatkan pendidikan yang terbaik bagi meningkatkan keinginan pelajar dalam pembelajaran dengan berbagai-bagai aktiviti pendidikan. Chris (1992).

Menurut Hunter (1969) dalam bukunya Teach More, Faster pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dalam diri murid-murid. Pembelajaran yang efektif berlaku dalam suasana yang sihat serta bersemangat.

Oleh itu, pengajaran efektif boleh ditakrifkan sebagai satu sistem aktiviti yang dapat meningkatkan lagi hasil pembelajaran terakhir yang dikehendaki di dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran terakhir yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku murid, akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baru. Ia juga merangkumi perkembangan seseorang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Pengajaran Berkesan!

Pengajaran yang berkesan adalah pengajaran yang membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap yang ditetapkan. Pengukuran dan penilaian mengenai keberkesanan pengajaran tidak dapat dibuat berdasarkan apa yang dilakukan oleh guru di dalam kelas sahaja, tetapi perlu berdasarkan kemampuan pelajar melakukan sesuatu dan pendapat mereka selepas menerima pengajaran daripada guru. Dalam hal ini, pengajaran yang berkesan adalah pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dalam diri pelajar yang berlaku dalam keadaan sihat dan bersemangat. Dalam perkataan mudah, pelajar berasa seronok, bertaambah minat, faham, menghayati bahan yang diajar, meningkatkan kemahiran dalam aspek kognitif, afektif, emosi, dan jasmani serta dapat pula melakukan aktiviti yang berkaitan dengan proses pengajaran yang dijalani itu.

Saturday, February 5, 2011

kenangan terindah

terkenang sebuah memori lalu
kisah persahabatan kita bersama
di dalam satu pengajian
menuntut ilmu dan pengalaman
mengingatkannku pengorbananmu
terpahat padu di kalbuku

bersama rakan taulan dan guru
tawa riangmu menghiburkan hatiku
indahnya suasana ketika itu
terjalin ukhwah sejati

nasihatmu sungguh bermakna bagiku
mengenalkanku erti kehidupan
susah payah kita hadapi bersama
itulah asam garam dalam kehidupan

Ya Tuhanku tabahkan hatinya
kuatkan semangatnya
untuk menghadapi hidup
limpahkanlah maghfirah dan kasih sayangmu
agar hidupnya sejahtera di dunia akhirat